This Page is best viewed with FIREFOX
PhotobucketPhotobucket PhotobucketPhotobucket PhotobucketPhotobucket Photobucket PhotobucketPhotobucket
PhotobucketPhotobucketPhotobucket
سيد ازاهار العدروس

Buat muka ketat, tipu sikit-sikit (Make tight face, little little bullshit)



Under construction. opps .... renovation

Memaparkan catatan dengan label Hikayat Umar Umaiyah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hikayat Umar Umaiyah. Papar semua catatan

Isnin, September 07, 2009

Bab 04 Bah 1 - Perdana Menteri mencuri kasut Umar Umaiyah


http://www.syedazahar.com/


Alkisah duduklah Umar Umaiyah dengan sukaria nya menjadi kadhi didalam negeri Yaman dan tiada khali ia dari masuk mengadap Raja Abrahah. Raja Abrahah pun menaruh kasih akan dia, hingga bebaslah ia tiada siapa yang berani menahan dari masuk keluar istana baginda itu. Bahawa adalah adat Umar Umaiyah ini setiap pagi ia berjalan bersiar siar dihalaman istana melihat hal sekeliling kawasan halaman istana. Apabila berjumpa dengan pengawal istana dia akan bertanya sesuatu yang tiada betul dihatinya. Maka berkata katalah mereka itu sesama sendiri “Wah datuk kadhi ini tiada lain pekerjaan nya melainkan hanya datang untuk memeriksa kerja kerja kita. Jika ada apa apa kerja yang khilaf kita buat akan dimaklumkan kepada raja, kerana itu terlebih baiklah kita menjaga diri kita masing masing. Ada pun datuk kadhi ini harapan raja kita. Akan perkataan mereka itu terdengar kepada Umar Umaiyah tetapi berpura pura ia berbuat seperti tidak terdengar olehnya.

Pada satu pagi tatkala bersiar siar seperti kebiasaannya dihalaman istana itu maka Umar Umaiyah pergi ketempat perhimpunan kuda Raja Abrahah. Dilihatnya ramai gembala sedang bekerja menggosok dan mengurut urut kuda. Setelah ia melihat gembala gembala kuda itu menggosok dan mengurut kuda itu, maka Umar Umaiyah pun membongkok dan mengambil seketul tahi kuda, lalu pura pura dicium dan pura pura diletakan pada mulutnya. Sesudah itu dihulurkannya tangan yang memegang tahi kuda itu sambil jarinya diacu acukan tiga kali berturut turut pada dahi kuda itu, maka ketika itu kuda itu pun mengangguk anggukan kepalanya. Kemudian sambil mengurut misainya maka dimasukan tahi kuda itu didalam bokcanya, lalu ia pun pulanglah kerumah.

Setelah Umar Umaiyah balik itu maka berkata katalah segala gembala kuda itu sesama sendiri. “Wahai kali ini matilah kita dibunuh raja, kerana rahsia kita mencuri kacang kuda itu telah diketahui oleh datuk kadhi. Betapa kita hendak melepaskan diri kita ini?”. Maka kata setengah dari mereka itu “Sebelum kita kena hukum, terlebih baiklah kita pergi berjumpa tok kadhi itu, kita berkhabar perkara yang sebenar kepadanya, mudah-mudahan ia menaruh belas kasihan dan memaafkan kesalahan kita”.

Setelah sudah putus muafakat segala gembala kuda itu, lalu pergilah mereka mengadap Umar Umaiyah. Demi dilihat oleh Umar Umaiyah, maka diketahuinyalah bahawa segala gembala kuda itu telah terkena jeratnya. Setelah mereka berhimpun dihadapannya maka berkatalah Umar Umaiyah dengan marahnya “Hei kamu sekelian, engkau semua ini dari orang derhaka, adakah patut engkau semua membuat pekerjaan derhaka kebawah duli Syah Alam. Baginda berharap dan percaya kepada kamu, tetapi tiba-tiba kamu putuskan harapan baginda itu. Baiklah, esok hari aku akan mengadap baginda untuk mempersembahkan hal perbuatan kamu semua, tak dapat tiada nescaya dibunuh baginda akan kamu sekelian ini”. Maka berkatalah seorang gembala kuda yang tertua daripada yang lain dengan suara menggeletar “ Ya Tuk Kadhi, daripada hari ini tiadalah hamba sekelian ini mencuri lagi kacang kuda baginda itu, Tuk Kadhi sajalah yang dapat melepaskan kami semua dari murka baginda itu”. Maka ujar Umar Umaiyah sambil menghentak-hentakan kakinya serta menggoncang gocangkan kepala dan mengurut misai katanya “Sekiranya sesaat jua kamu sekelian tidak datang berkhabar dengan sebenarnya kepada aku, nescaya matilah kamu sekelian dibunuh oleh baginda. Sekarang ini, hendaklah kamu bawa seperti yang kamu sekelian maklum dan beri kepadaku, supaya aku lenyapkan rahsia kamu ini”.

Maka sekelian gembala kuda itu pun berlari-larilah pulang kerumah masing masing mengambil dinar, dan yang tidak mempunyai dinar menggadai barang anak isteri mereka. Demikianlah halnya mereka itu semua membawa dinar beri kepada Umar Umaiyah. Maka diterima oleh Umar Umaiyah, seraya berkata kepada segala gembala kuda itu, “Baiklah, aku maafkan kamu sekelian, tetapi hendaklah kamu ceritakan kepada siapa kamu menjual kacang kuda itu? Khabarkan kepadaku supaya supaya aku tahu siapa yang membelinya. Hal itu sekadar aku hendak tahu sahaja”. Maka diceritakan oleh segala gembala kuda itu kepada Umar Umaiyah saudagar yang membeli itu, dan diketahuilah oleh Umar Umaiyah akan tempat kedai saudagar itu. Setelah itu Umar Umaiyah berkata kepada semua gembala kuda “ Baik baiklah kamu semua membela kuda baginda itu, dan janganlah kamu mencuri lagi”. Kemudian semua gembala itu pun baliklah dengan sukacita dan tidak menaruh bimbang lagi. Umar Umaiyah pun duduklah mencari akal apa yang hendak dibuatnya nanti.

Tiga hari kemudian Umar Umaiyah pun pergi kesebuah kedai, diambilnya sejemput kacang kuda dari kedai itu, digenggamnya lalu dibawa pergi kegedung saudagar yang membeli kacang kuda dari gembala gembala kuda Raja Abrahah. Setelah masuk kedalam gedung itu ia pun pergilah kekarung yang berisi kacang kuda. Maka ia pun membanding bandingkanya kacang yang dipegangnya dengan kacang yang ada dalam karung saudagar itu. Kemudian dipandang kacang yang ada dalam karung itu dan menggeleng gelengkan kepalanya sambil berkata seorang diri “ Wahai, lamalah sudah kau mengghaibkan diri dari tuanmu, sekarang ini barulah kau menunjukan dirimu. Pada esok hari kelaklah kau akan beroleh kesakitan dari tuanmu. Duduklah engkau pada tempat ini, jangan engkau bergerak. Sebentar lagi datanglah tuanmu itu”. Setelah ia berkata kata demikian keluarlah ia dari gedung saudagar itu.

Segala perkataan Umar Umaiyah itu didengar oleh saudagar itu dan berdebar debarlah hatinya seraya berkata “ Wahai, sudah diketahuilah oleh kadhi itu akan halku bermuafakat dengan gembala kuda raja membeli kacang kuda ini. Sebab kadhi ini sudah tahulah maka ia datang memeriksa, dibanding bandingkannya kacang digudangku dengan kacang baginda. Jika diketahui baginda nescaya dirampas segala hartaku dan dibunuhnya aku. Jika demikian terlebih baiklah pada malam ini aku pergi mengadap datuk kadhi itu, aku maklumkan padanya akan halku, supaya terlepas aku dari bala yang datang keatasku”

Setelah malam hari saudagar itu mengambil pundi-pundi berisi dinar dan dibawa pergi sertanya kerumah Umar Umaiyah. Apabila saudagar itu sampai Umar Umaiyah pun mempersilakan masuk kerumahnya. Saudagar itu pun duduklah dihadapan Umar Umaiyah dengan hormat takzimnya dan pundi-pundi berisi dinar diletakan disisinya. Setelah itu ditanya akan Umar Umaiyah “Ya Datuk saudagar, apakah khabar yang syak maka datuk saudagar datang kerumah pada malam hari ini?”. Maka sahut saudagar itu “Ya Datuk Kadhi, akan hamba ini memperoleh sedikit kesusahan, sebab itulah hamba datang kemari hendak minta datuk kadhi maafkan akan hamba ini”. Umar Umaiyah pun bertanya “Apa kesusahan tuan?” sambil memandang pada pundi-pundi berisi dinar itu. Kata saudagar itu “Adapun kesusahan hamba ini salah membeli kacang kuda Raja Abrahah daripada gembala kuda baginda. Akan rahsia ini tiada siapa yang tahu kecuali tuan hamba juga yang tahu. Sekarang ini hamba memohon pada khadam tuanhamba, kiranya dapat melepaskan hamba dari bala ini”. Maka Umar Umaiyah pun memandang pada saudagar itu sambil berkata “Ya datuk saudagar, janganlah menaruh dukacita, pasal melepaskan datuk dari bala itu tertanggunglah atas hamba. Pulanglah datuk kerumah, duduk berdiam diri dengan sukacita”. Maka saudagar itu pun menghulurkan pundi-pundi dinar pada Umar Umaiyah sambil berkata “Ini adalah nazar hamba, silalah datuk kadhi ambil akan pundi-pundi ini”. Maka diambillah Umar Umaiyah pundi-pundi itu. Maka saudagar itu pun baliklah kerumahnya lalu bersumpahlah ia tidak mahu membuat pekerjaan yang demikian itu lagi. Maka Umar Umaiyah pun duduklah seorang diri mengira ngira dinar yang dikeluarkan dari pundi-pundi itu.

Syahadan, pada satu malam bulan terang Umar Umaiyah pun keluar berjalan-jalan keluar kota lalu bertemu dengan dua orang pencuri duduk dibawah sepohon kayu. Keduanya sedang berbantah antara satu sama lain. Lalu diketahuilah Umar Umaiyah hal keduanya berbantah fasal pembahagian harta yang dicuri, lalu Umar Umaiyah berdehem sambil berkata “Telah ku ketahuilah akan hal pekerjaan kamu berdua ini, terlebih baiklah kalau kamu mengikut nasihatku ini”. Demi didengar oleh kedua pencuri itu lalu mereka berpandangan sesama sendiri, memikirkan siapa yang datang pada tengah malam itu. Bisik seorang dari pencuri itu “Ini jin agaknya, mari kita lari”. Maka kata seorang lagi “Ah, bukannya jin, dia itu manusia, datang bermain-main bulan terang”. Dalam masa kedua duanya berkata-kata Umar Umaiyah pun hampirlah ketempat keduanya lalu berkata “Wahai sahabatku, lamalah sudah aku mencari kamu berdua ini, rindu sangat ingin bertemu, sudah bertahun tahun ku cari, pada malam inilah baru berjumpa dengan kamu. Tidakkah kamu kenal akan aku ini? Bukankah aku ini sahabatmu yang muqarrabin? Kerana aku ini sudah menjadi miskin tiada engkau perdulikan aku. Sebab kamu berdua memperoleh banyak dinarkah pada malam ini maka engkau lupa akan aku ini?. Tuhanlah yang memberi rahmat akan kamu berdua ini”.

Demi didengar kedua pencuri itu hairan tercengang-cengang tiada terkata-kata lagi. Keduanya merenung Umar Umaiyah, diamat-amati tiada juga dikenal, hendak ditanya tiada terhemat hati keduanya bertanya melainkan memandang muka Umar Umaiyah sahaja. Maka kata Umar Umaiyah “Hai sahabat berdua, janganlah menaruh walang didalam hati, jika tiada kenal akan aku yang miskin ini tidak mengapalah!. Pada esok harilah hamba pergi kerumah tuanhamba untuk berjumpa. Pada ketika itu bolehlah tuan hamba kenal akan hamba, tapi pada malam ini hamba hendak juga membuat kebajikan pada tuanhamba supaya kenang akan hamba. Ada pun hamba ini pandai ilmu hisab, sekiranya tuan hamba redha, boleh hamba hisabkan dinar yang ada diberi sama banyak supaya tidak ada seorang pun teraniaya”. Maka kata kedua pencuri itu “Kami pun memerlukan ahlil hisab, sekarang tuanhamba datang kemari, tersangatlah baik”.


Sam Kai Cheong

Selasa, Ogos 11, 2009

Bab 03 Bah 4 - UMAR UMAIYAH MENJADI KADHI NEGERI YAMAN


http://www.syedazahar.com/



Kemudian Raja Abrahah bertitah “Hai Ra’is al muwali, cubalah putuskan hukum kepada mereka”. Sembah Umar Umaiyah “Daulat Tuanku Duli Shah Alam, jika sekiranya Duli Yang Maha Mulia membenarkan hamba memutuskan hukum keatas mereka ini, dapat patik kerjakan dengan mudah jua”. Maka titah baginda “Hai Ra’is al muwali, cuba engkau putuskan hukum atas perkara ini, aku pun suka hendak mendengar hukuman itu”. Umar umaiyah pun datang menyembah sambil berkata “Daulat Tuanku Shah Alam, bahawa adalah kuda itu asalnya saudagar ini yang empunya, kemudian datang pencuri disambarnya kuda itu dan dijual kepada gembala unta. Sudah itu disambar pula pencuri itu seekor baghal, dibawa dan ditambatkan pada bangsal kuda saudagar. Kemudian kuda itu disambar oleh sipencuri itu dari bangsal gembala unta dibawanya pergi terus ghaib. Inilah halnya akan ketiga mereka ini. Adapun hukum pada saudagar ini, hendaklah ia membayar denda sebanyak antara harga kuda dengan baghal itu, dan berikan pada gembala unta kerana baghal itu ada padanya. Adapun hukum keatas tukang dobi itu pula hendaklah ia membayar seperlapan daripada harga himarnya itukepada gembala unta. Inilah hukum yang sah”.
Setelah Raja Abrahah mendengar hukuman dan huraian Umar Umaiyah, terlalu amat sukacita hati baginda dan dipujinya akan kebijaksanaan Umar Umaiyah. Titah Raja Abrahah “ Hai kadhi, tiada patut engkau ini menjadi kadhi, sedangkan perkara yang sikit ini tidak dapat engkau putuskan. Aku buang akan dikau akan pekerjaanmu”. Maka kadhi itu pun tiadalah terkata kata lagi, lalu pulang kerumahnya, dan orang bertiga itu pun pulang kerumah masing masing duduk dalam kemasyghulan. Maka akan pekerjaan kadhi itu diserahkan pada Umar Umaiyah. Umar Umaiyah pun menjadi kadhi Raja Abrahah, serta menggelarkan dirinya ‘Kadhi al Hijamah’ yakni kadhi yang bijak menghukum keatas rakyat sekelian. Dalam sedikit masa sahaja gah dan masyhurlah namanya pada segala ceruk rantau dalam negeri Yaman, dan Raja Abrahah pun menaruh belas kasihan kepadanya. Maka dia pun bermaharajalelalah, barang siapa memberi suap kepadanya, dipermenangkan akan mereka itu. Demikianlah halnya Umar Umaiyah memegang pekerjaan kadhi itu.
Dalam negeri Yaman ada seorang saudagar yang amat kaya dan mempunyai seorang anak laki-laki. Pada tatkala dia hendak mati, maka dia berwasiat kepada guru anaknya itu, demikianlah bunyinya wasiat itu; “Aku wasiatkan, akan hak hartaku ini diberikan pada anakku, ikut suka hati guru anakku itu”. Setelah berwasiat dia pun matilah. Tidak berapa lama kemudian dituntutlah oleh anak saudagar itu kepada gurunya supaya memberikan harta bapanya itu kepada nya. Maka guru itu tidak mahu member harta itu, katanya “Bapamu berwasiat kepada aku, disuruh beri ikut suka hati aku. Jika aku suka aku beri kepadamu, jika aku tidak suka tiadalah aku mahu beri kepada kamu. Sekarang aku tidak suka hendak memberi kepada kamu’”. Setelah didengar oleh anak saudagar itu, maka pulanglah ia kerumahnya duduk dalam kemasyghulan.
Beberapa hari kemudian anak saudagar itu pergi mendapatkan sahabatnya, dan dikhabarkan halnya pada sahabatnya itu.Maka kata sahabatnya “Marilah kita pergi mendapatkan Kadhi al Hijamah, barangkali tok kadhi dapat memecahkan wasiat bapamu itu”. Maka keduanya pun pergilah kerumah Umar Umaiyah memaklumkan hal ehwal yang telah terjadi itu. Kata Umar Umaiyah “mudah mudahan dapat aku putuskan hukum atas perkara itu, tetapi seperlapan dari harta itu hendaklah kau beri kepadaku”. Maka sahut anak saudagar itu “Jika dapat boleh hamba tunaikan seperti kehendak Tuan kadhi itu”. Kata Umar Umaiyah “Baiklah, sekarang ini pulanglah kerumahmu dan selepas lima hari datanglah berjumpa aku”. Maka pulanglah anak saudagar itu kerumahnya.
Keesokan harinya Umar Umaiyah pun pulanglah ketanah jirat lalu bertanya pada orang yang menjaga jirat “Ya akhi, dimanakah kubur saudagar kaya yang baru mati itu?” Maka ditunjukkanlah oleh penjaga kubur itu kepadanya, lalu dicamkan nya baik baik akan kubur itu, kemudian dia pun balik kerumahnya.Kemudian ditulisnya satu surat demikian bunyinya; “Hai guru anakku, hartaku yang aku wasiatkan kepadamu itu serahkan pada anakku serta dengan labanya”. Setelah sudah ditulis surat itu, dia pun pergi ketanah jirat itu ditanamkannya surat itu pada sama tengah kubur saudagar itu.
Selepas lima hari datanglah anak saudagar itu kepada Umar Umaiyah. Kata Umar Umaiyah “Hai orang muda, pada tiap2 hari hendaklah engkau menziarahi kubur bapamu dan hendaklah kamu mengadu akan halmu kepadanya, dan hal gurumu tidak mahu memberikan hak hartamu itu. Engkau perbuat demikian hingga sampai empat puluh hari. Kemudian datanglah kamu kepadaku”. Maka dikerjakanlah anak saudagar itu seperti nasihat Umar Umaiyah. Setelah genap empat puluh hari datanglah anak saudagar itu berjumpa Umar Umaiyah. Umar Umaiyah pun menyuruh panggil akan guru anak saudagar itu. Setelah guru itu datang berkatalah Umar Umaiyah “Hai mualim,mengapa tiada engkau mahu memberikan harta anak saudagar itu?”. Maka jawab mualim “Ya Tuan kadhi, tiada reda oleh bapanya itu lalu menyebut ‘ikut suka hati hamba’ “. Kata Umar Umaiyah “Bapamu kah saudagar itu atau sahabatmu?”. Sahut mualim “sahabat hamba”. Maka ujar Umar Umaiyah “Jika sekadar sahabatmu, bukanlah harta itu harta hakmu”. Jawab mualim itu “benarlah”. Maka kata Umar Umaiyah “Berilah akan anak simati akan harta dalam milikmu itu. Jawab mualim itu “Jika demikian batalkah wasiat muwassi itu?”. Maka kata Umar Umaiyah “Wasiat itu tidak batal, sungguh pun tiada batal, tetapi haram menaruh harta yang diamanahkan itu”. Kata mualim “Sekali kali tiada aku mahu beri kepadanya” lalu mualim itu pun turun terus balik kerumahnya.
Setelah demikian berkatalah Umar Umaiyah kepada anak saudagar itu “Pada malam ini pergilah engkau kekubur bapamu dan serukan demikian: hai bapaku, beri apalah kiranya kepadaku harta yang engkau serahkan kepada guruku itu’. Seruan itu engkau serukan barang sepuluh kali, kemudian engkau balik kerumahmu. Keesokan hari datanglah mendapatkan aku ”. Setelah itu anak saudagar itu pun baliklah kerumahnya. Maka hari pun malamlah. Dalam gelap malam Umar Umaiyah pun pergilah duduk disebalik kubur saudagar itu. Seketika kemudian datanglah anak saudagar itu bersama sahabatnya, berdiri disisi nisan bapanya lalu berseru seru seperti yang diajarkan oleh Umar Umaiyah itu. Demi diserunya maka disahut oleh Umar Umaiyah dari sebalik kubur itu dengan suara yang amat perlahan “hai anakku, ada satu warkah didadaku, ambil olehmu, bawa pergi sembahkan pada Raja Abrahah, dialah yang dapat memutuskan hukum itu”.
Demi didengar oleh anak saudagar itu sukacitalah hatinya, lalu dia pun baliklah kerumahnya. Keesokan paginya pergilah dia mendapatkan Umar Umaiyah lalu berkata “Ya Datuk kadhi, malam tadi hamba telah pergi ziarah kubur bapa hamba dan terdengar suara dari dalam kubur menyuruh hamba gali dan mengambil satu warkah dari dadanya”. Maka kata Umar Umaiyah “Sungguhkah katamu itu? Jika sungguh seperti katamu, pergilah kau maklumkan pada Raja Abrahah pinta izin kepada baginda sembahkan padanya engkau ingin menggali kubur bapamu itu”. Anak saudagar itu pun pergilah mengadap Raja Abrahah disembahkan kepada baginda akan hal ehwal nya itu. Maka titah baginda “Panggilkan kadhi”. Maka kadhi pun dating mengadapRaja Abrahah lalu baginda mengkhabarkan kepada Umar Umaiyah segala hal ehwal itu. Sembah Umar Umaiyah “Daulat Tuanku Shah Alam, jika sekiranya duli shah alam menyuruh mualim itu pergi bersama sama adalah terlebih baik”. Maka Raja Abrahah pun menyuruh panggil akan mualim itu. Mualim itu pun dating mengadap baginda, kemudian Raja Abrahah bertitah “pergilah engkau bersama sama anak saudagar itu kekubur bapanya. Umar Umaiyah, anak saudagar dan mualim itu pun pergilah kekubur saudagar itu. Umar Umaiyah pun menyuruh anak saudagar itu menggali kubur bapanya lalu dikerjakanlah seperti yang disuruh Umar Umaiyah.
Setelah digali didapati ada sekeping warkah terletak dalam kubur bapanya lalu diambil dan ditunjukan pada Umar Umaiyah dan mualim itu. Maka kata Umar Umaiyah “Jangan sekali kali kau tunjukan kepada kami, tidak mahu kami melihatnya, pergilah kau tunjukan pada Raja Abrahah, bagindalah yang sepatut membacanya. Ketiga tiganya pun pergilah mengadap Raja Abrahah dan anak saudagar itu pun menyembahkan surat itu dihadapan Raja Abrahah. Titah baginda kepada Umar Umaiyah “bacakan olehmu akan surat ini”. Lalu disambut oleh Umar Umaiyah dan dibacakan dengan suara yang nyaring. Setelah dibaca dan didengar baik baik oleh Raja Abrahah, baginda pun bertitah kepada mualim “Ada pun wasiat yang ditinggalkan oleh simati kepadamu, maka pada hari ini batallah ia, bahawa pada wasiat inilah yang sah. Pulangkanlah hak harta saudagar itu serta dengan labanya kepada anaknya ini. Maka sembah mualim ‘Harta itu dapat hamba serahkan tetapi labanya tiadalah dapat hamba serahkan, kerana tiada pada hamba, betapalah hamba hendak memberinya. Titah baginda “engkau pohonlah ampun pada anak simati ini, jika ia redha dapat dimaafkan akan laba itu. Dalam tiga hari ini hendaklah engkau serahkan kepadanya, jika engkau engkar akan hukum aku ini akan kurampas hartamu”. Maka mualim itu pun memulangkan harta saudagar itu kepada anak saudagar beserta dengan labanya. Setelah itu Umar Umaiyah pun menuntut akan habuannya, maka diberilah anak saudagar itu seperti mana yang telah diwaadkan.
Sam Kai Cheong

Isnin, Ogos 10, 2009

Bab 03 Bah 3 - UMAR UMAIYAH MENJADI KADHI NEGERI YAMAN


http://www.syedazahar.com/

Tidak berapa lama kemudian saudagar dan gembala unta itu pun berjalan pergi mencari kuda itu. Dipertengahan jalan bertemulah keduanya dengan seorang yang mencari kuda hitam juga. Maka ketiga tiganya pun duduklah bersama. Ditanya saudagar akan gembala unta itu “ Betapa rupanya kudamu itu?”. Jawab gembala unta “Adalah kudaku itu hitam dan dahinya putih”. Bertanya lagi saudagar “Apa nama jenis kudamu itu?” dan gembala unta menyahut “jenis kuda baghal”. Kemudian ditanya oleh saudagar akan orang yang seorang lagi “Betapa pula rupa kudamu itu?”. Orang itu menjawab “Adapun kudaku itu hitam dan dahinya putih, dan jenisnya himar”. Setelah ketiganya tanya bertanya, berkatalah gembala unta itu “Marilah kita pergi berjumpa datuk nujum, melihat dalam nujumnya kemana perginya kuda kita itu”. Saudagar itu pula bertanya “Dimana ada ahli nujum?”. Sahut gembala unta “Ada seorang sheikh duduk menjaga jirat, dan pandai dalam ilmu nujum, marilah kita pergi kepadanya. Maka pergilah ketiga tiganya ketempat tinggal Umar Umaiyah.
Sebelum mereka itu hampir pada makam tempat tinggalnya itu, Umar Umaiyah pun kenallah akan ketiga tiganya dan berkata dalam hatinya “Mereka ini datang hendak menangkap aku kerana memperdayakan mereka, lebih baik aku merupakan diriku sebagai pendita supaya tidak dikenal”. Setelah itu dia pun masuk kebilik dan memakai pakaian cara pendita sambil memegang dan membilang biji tasbih. Setelah sampai ketiganya mereka pun menberi salam pada Umar Umaiyah dan disambut akan salam mereka itu dan disuruh ketiganya duduk dihadapan nya. Umar Umaiyah bertanya kepada mereka “Tuan tuan ini datang kemari ada apa apa hajat?”. Lalu saudagar itu berkata “Ya Sheikh, ada pun kami ini kehilangan kuda dan hendakkan Tuan Sheikh menilik didalam nujum kemana perginya, kuda kami itu siapa yang mengambilnya tolonglah lihat baik baik dalam nujum tuan hamba. Manakala juga, nanti kami beri tuan hamba dinar ‘penebus ibarat’ tuan hamba itu.
Setelah Umar Umaiyah mendengar kata saudagar itu, dia pun berkata “ Demi tuhan lata wa manat, dapat aku menilik pencuri yang mengambil kuda kamu itu” lalu digarisnya dua tanda garisan, satu hitam dan satu merah. Kemudian disuruh saudagar itu meletakan tapak tangan kanan pada tanda garisan itu. “Niatkanlah dalam hati kamu baik baik kemudian peganglah salah satu tanda garisan itu”. Saudagar itu pun meletakan tangannya pada tanda garisan hitam. Kemudian disuruh pula gembala unta itu meletakan tangannya dan gembala unta itu meletakan tangannya pada garisan merah. Kemudian disuruh pula pada orang yang seorang lagi maka orang itu pun meletakan tangannya pada garisan hitam.
Apabila selesai ketiga tiganya meletakan tangan Umar Umaiyah pun menggeleng geleng kepalanya serta menbeliakan biji matanya sambil memandang kelangit dan mengurut ngurut janggutnya. Setelah itu ia pun menunjuk dengan jari telunjuk pada saudagar itu seraya berkata “Ya Tuan, kuda hitammu itu ghaib dan baghal ada dirumahmu, adakah pada masa ini baghal merah ada dirumahmu?”. Jawab saudagar itu “Benar, ada”. Ditanya pula Umar Umaiyah akan gembala unta pula “ Yakah kedua dua baghal dan kudamu sudah ghaib?” Jawab gembala unta itu “ Ya, Benar”. Lalu ditanya pula pada orang yang seorang lagi “ Kuda hitammu ghaib tetapi baghal ada dirumahmu, benarkah?. Maka jawab orang itu “benar ya sheikh”.
Kemudian Umar Umaiyah bertanya kepada gembala unta itu “Apa ada tanda pada baghalmu itu?”. Sahut gembala unta itu, “Ada satu tanda hitam diperutnya”. Ditanya Umar Umaiyah lagi “Betapa engkau mengetahui tanda itu?”. Lalu jawab gembala unta itu “Ditunjuk akan daku oleh tuannya tatkala dia menjual baghal itu kepadaku”. Maka kata Umar Umaiyah “Jika sungguh seperti katamu itu, pergilah kau lihat betapa rupanya baghal yang ada dirumah saudagar itu”. Maka gembala unta pergilah melihat baghal yang tertambat dibangsal saudagar itu, dan dilihatnya ada tanda hitam pada perut baghal itu, lalu pergilah dia mendapatkan Umar Umaiyah seraya berkata “ Ya Sheikh, ada tanda hitam diperutnya dan lagi hamba cam baik baik itulah baghal hamba”. Maka kata Umar Umaiyah “Jika demikian ketiga tiga kamu ini adalah pencuri, mencuri harta seseorang oleh seseorang, selepas itu hendak memperlindung diri masing masing pula, datang kemari menyuruh aku melihat didalam nujum. Tidak akan kulepaskan kamu bertiga ini, hendak kuhantar pergi mengadap raja negeri ini. Raja Abrahah itulah yang dapat menghukumkan kamu, dan aku sendiri hendak mempersembahkan hal ini. Sekarang ini katakanlah kepada aku hal kamu sekelian dengan sebenarnya supaya aku ketahui.
Maka kata saudagar itu “Ya Sheikh, aku berkata dusta, dengarlah aku riwayatkan akan perihal aku ini” Maka kata Umar Umaiyah “Katalah olehmu dengan sebenarnya”. Saudagar itu pun berkata “Adalah hamba ini saudagar yang duduk berniaga dalam negeri ini. Satu hari datang seorang miskin minta pekerjaan menjaga kuda hamba dan hamba menerima dia bekerja menjaga kuda.Tiada berapa hari kemudian ghaiblah kuda hamba, tiba tiba datang gembala unta ini mencari kudanya, konon hilang. Kemudian hamba bersamanya pun keluarlah mencari kuda itu lalu bertemu dengan rakan ini, kudanya pun hilang juga. Kemudian kami bertiga pun datang kemari mengadap Tuan Sheikh minta lihat dalam nujum kemana hilangnya kuda kami itu. Demikianlah perihal hamba ini”.
Setelah itu Umar Umaiyah pun menyuruh gembala unta menceritakan halnya. Kata gembala unta itu “Ya Sheikh, Hamba ini gembala unta dan menaruh banyak unta hamba dalam dusun Anu. Satu hari datang seorang musafir menjual baghal kepada hamba. Katanya dalam sedikit hari lagi baghal ini akan bertukar menjadi bapak kuda hitam berdahi putih. Maka hamba jagalah baghal itu baik baik. Dalam pada beberapa hari seperti pesan musafir itu, baghal itu pun sudah bertukar rupa menjadi kuda hitam, berdahi putih. Hamba pun sukacitalah dan sentiasa memelihara kuda itu. Tiada berapa lama kemudian setelah memperoleh kuda itu, hamba pun pergilah kedusun bapa hamba, dua tiga hari kemudian baliklah hamba kerumah, maka hamba lihat bapak kuda hitam itu telah ghaib, hilanglah ia pada mata hamba.. Sesudah itu hamba pun keluar pergi mencari hingga sampai kerumah saudagar in. Dia pun mengadu hal kehilangan bapak kuda hitamnya, lalu kami berdua bersama-sama keluar mencari lalu berjumpa dengan rakan yang seorang ini. Dia pun mengadu akan kehilangan kudanya. Setelah itu hamba bertiga pun datanglah mengadap tuan hamba pinta lihat dalam nujum kemana perginya kuda itu”.
Setelah selesai gembala unta itu menceritakan halnya Umar Umaiyah pun menyuruh orang yang seorang lagi menceritakan halnya. Orang itu berkata “Ya Tuan Sheikh yang beriman, ada pun hamba ini tukang dobi Raja Abrahah. Lama sudah hamba bekerja tidak terdaya lagi hendak berjalan kerana sangat daif tubuh badan hamba. Pada satu hari seorang musafir datang menjual kuda hitam berdahi putih lalu hamba pun membelinya., kasad hamba ingin mengenderai akan ia. Tidak berapa lama kemudian kuda itu pun ghaiblah dari tempat yang hamba tambatkan. Pada tempat kuda itu hamba lihat ada seekor himar tertambat. Ketika itu pada sangka hati hamba kerana kuda itu takut akan himar lalu larilah ia pada tempatnya. Maka hamba pun keluarlah mencari kuda itu dan bertemu dengan kedua rakan ini lalu diajak hamba kemari hendak pinta tuan hamba tengok didalam nujum. Inilah hal hamba”.
Ketika itu Umar Umaiyah berkata dalam hatinya “Jika aku putuskan hukumnya nescaya ketiga tiga nya tidak mahu menurut hukumku, maka terlebih baik aku meminta mereka bertemu kadhi, maka kadhilah yang dapat menghukumnya”. Setelah itu dia berkata “Marilah kita pergi bertemu kadhi kerana kadhi jugalah yang memegang hukum negeri”. Lalu mereka bertiga dan Umar Umaiyah pun pergi mengadap kadhi lalu dimaklumkan Umar Umaiyah akan hal ehwal mereka itu. Lalu kadhi pun tunduk berfikir kemudian berkata kepada Umar Umaiyah “Hai Ra’is al muwali, bagaimana aku hendak memutuskan hukum atas mereka kerana mereka tidak ada saksi yang sah yang mengatakan kehilangan kudanya, dan lagi kuda itu ghaib. Sekiranya kuda itu ada pada sesiapa antara ketiganya, dapatlah aku menghukum akan orang yang menaruh kuda itu. Pergilah kamu sekelian mengadap Raja Abrahah, bagindalah yang berkuasa menghukum perkara yang sedemikian itu.
Setelah itu Umar Umaiyah dan ketiga tiga orang itu pergi mengadap Raja Abrahah. Titah baginda pada Umar Umaiyah “Hai Ra’is al muwali, khabarkan kepadaku akan hal mereka bertiga itu”. Sembah Umar Umaiyah “ Ya Shah Alam, adalah hamba ini ialah hamba kepada khadam duli Shah Alam. Sekian lamanya sudah hamba duduk dalam peliharaan Shah Alam, tidak pernah hamba mendengar barang suatu perkara ajaib seperti perkara orang bertiga ini”. Maka titah Raja Abrahah “Hai Ra’is al muwali, khabarkanlah kepadaku perihal ketiga mereka itu”. Maka Umar Umaiyah pun mempersembahkan kepada Raja Abrahah akan hal ehwal mereka itu.
Setelah mendengar sembah Umar Umaiyah, Raja Abrahah pun tunduk berfikir. Sejurus kemudian baginda pun bertitah suruh panggil kadhi. Maka kadhi pun sampailah lalu baginda menyuruh kadhi memutus hukum akan perkara itu. Sembah kadhi “Daulat Tuanku, Duli Shah Alam tiadalah dapat hamba putus hukum akan mereka itu kerana tiada saksi yang mengatakan kuda mereka itu hilang”. Titah baginda “Jika tiada saksi tidakkah dapat diputuskan hukum atas perkara ini?”. Kemudian baginda memandang kepada Umar Umaiyah sambil bertitah “ Hai Ra’is al muwali, apa katamu kerana tiadalah dapat kami putuskan hukum atas mereka ini”. Sembah Umar Umaiyah “ Daulat Tuanku Shah Alam, ajaiblah hamba mendengar sembah datuk kadhi itu, bahawa seperti yang hamba maklum, adapun kadhi itu pekerjaannya menghukumkan orang dengan hukuman yang menurut keadilan. Siapakah lagi yang dapat menghukumkan perkara yang demikian itu melainkan kadhi jugalah. Jika kadhi tidak dapat menghukumkan, haruslah dibuang kadhi itu dari jawatannya”. Maka titah baginda “Benar seperti katamu itu, patut dibuang sekarang ini juga”.
Sam Kai Cheong

Jumaat, Jun 13, 2008

Bab 03 Bah 2 - UMAR UMAIYAH MENJADI KADHI NEGERI YAMAN




Beberapa hari kemudian Umar Umaiyah pun membawa baghalnya itu hendak dijualnya kepada gembala unta, maka dibelilah oleh gembala unta itu. Umar Umaiyah pun berkata kepada gembala unta itu “Adapun baghalku ini dalam sedikit hari lagi akan menjadi bapak kuda hitam, berbahagialah kamu kerana akan beroleh harga yang tinggi kelak” Demi didengar akan oleh gembala unta itu ia pun berkata “ Jika benar akan katamu itu, nanti akan kuberikan hadiah kepadamu sekadar miskin ku ini”. Sahut Umar Umaiyah “Demi lata wa manat, memang sungguh seperti kataku ini”. Setelah itu Umar Umaiyah pun baliklah kemakam tempat tinggalnya. Maka keesokan harinya, waktu pagi-pagi Umar Umaiyah pun pergilah kerumah saudagar tempat ia membela kuda itu. Maka ditanya oleh saudagar itu “ hei miskin, kemana engkau pergi selama ini, tiada engkau datang kesini?”. Maka jawab Umar Umaiyah “ Hamba ini orang miskin, hamba pergi mencari nafkah. Pada hari ini ada senang sedikit maka hamba datang kemari hendak berjumpa tuanhamba, kerana hajat hati hamba hendak memaklumkan pada tuanhamba meminta izin, hamba hendak kembali kenegeri hamba, lamalah sudah hamba meninggalkan ibu bapa hamba. Jika ada belas kasihan tuanhamba, hamba pinta kepada tuanhamba, kurnia sedekah barang sedikit jua, hendak buat bekal dalam perjalanan kelak”. Pada sangkaan saudagar itu sungguhlah perkataan Umar Umaiyah itu, lalu diberikanlah hadiah akan Umar Umaiyah persalinan. Maka diambil oleh Umar Umaiyah serta dipujinya akan saudagar itu, lalu ia pun baliklah ketempat tinggalnya.

Pada tengah malam itu, dengan tiada setahu sesiapa pun, pergilah Umar Umaiyah masuk kedalam kampung gembala unta itu, diambilnya baghal yang dijualnya itu, dibawa pergi kekandang kuda saudagar itu lalu ditambat baghal itu dikandang saudagar, akan kuda saudagar itu dibawa pergi kerumah gembala unta itu. Kemudian iapun baliklah kemakam tempat tinggalnya. Maka pada pagi esoknya gembala unta itu pergilah kekandang tempat belaan, tiba-tiba dilihatnya ada seekor kuda tertambat pada tempat baghal yang baru dibelinya. Maka ia pun hairan, dalam hatinya berkata “kemana pula pergi baghal yang kubeli itu? Kuda siapa pula yang datang kemari masuk kedalam kandangku ini? mimpikah atau jagakah aku ini hingga berubah pandanganku” Kemudian ia memanggil isterinya lalu bertanya “Adakah kau lihat apa yang ada didalam kandang itu?” Maka jawab isterinya “Aku lihat ada seekor kuda hitam”. Lalu ia bertanya lagi “Bukankah baghal yang ku beli?” Maka jawab isterinya “ Mana pula ada baghal, hanya yang ada kuda jua”. Sekali lagi gembala unta itu bertanya isterinya “Benarkah katamu itu?” Jawab isterinya “Demi tuhanku uzza, tiada aku berkata dusta”. Tiada juga gembala unta itu percaya, disangka dirinya itu didalam mimpi jua, lalu ia bertanya kepada isterinya “Cuba kau lihat, panjangkah telinganya?” Maka sahut isterinya “Ah, ada pula kuda bertelinga panjang, baghallah yang panjang telinga” Sesudah itu gembala itu pun masuklah kerumahnya duduk dengan hairannya memikirkan baghalnya bertukar kepada kuda itu.

Tiada berapa ketika kemudian Umar Umaiyah pun sampailah kerumah gembala unta itu, seraya ia berseru katanya “ Hai tuan rumah, keluarlah daripada rumahmu!” Maka disahut gembala itu “Ya aku ada sedang mimpi”. Apabila didengar oleh Umar Umaiyah, diketahuinyalah bahawa gembala unta itu sedang berbaring-baring sambil berfikir. Demi dilihat oleh gembala itu akan Umar Umaiyah, maka dikenalnya lalu ia pun bangkitlah dari tempat tidurnya datang duduk dekat dengan Umar Umaiyah. Maka ditanya oleh Umar Umaiyah “Kenapa aku lihat engkau ini seperti orang berfikir panjang amat?” Maka kata gembala unta itu “ Ya sheikh, engkau pandang akan aku ini jagakah atau tidurkah?” Maka kata Umar Umaiyah “Aku lihat engkau ini tidak tidur dan tidak juga mati, melainkan sedang memikir akan hal baghal sudah menjelma menjadi kuda”. Maka sahut gembala unta itu “Ya sheikh, benar katamu itu”. Maka kata Umar Umaiyah “Pergi basuhlah mukamu dahulu, sesudah itu bolehlah kita bercakap fasal baghal itu”.

Maka gembala unta itu pergilah membasuh mukanya, kemudian datanglah ia mengadap Umar Umaiyah. Maka kata Umar Umaiyah “Bukankah sudah aku katakan tatkala aku menjual baghal itu kepadamu, tidakkah engkau ingat akan kataku, dalam sedikit hari ini, nanti ia menjadi kuda hitam? Pada hari ini sudahlah sampai pada ketikanya ia menjadi kuda, apakah engkau hendak berfikir banyak-banyak lagi?” Demi didengar gembala unta itu akan perkataan Umar Umaiyah, baharulah ia ingat, lalu ia pun menjawat kadam Umar Umaiyah seraya berkata “Marhaba ya sheikh, barulah aku ingat”. Setelah itu disuruh segera isterinya bawa makanan beri kepada Umar Umaiyah. Maka makanlah Umar Umaiyah, kemudian ia pun berkata “Aku datang ini hendak menuntut seperti janjimu itu”. Maka dengan seketika itu juga gembala itu memberi hadiah emas dan perak sekadar miskinnya itu. Maka diambil Umar Umaiyah dan dimasukan kedalam bokcanya dan dipuji-pujinya gembala itu dengan pujian yang mulia-mulia. Kemudian iapun berkata “Ya saudara, jaga baik-baik akan kudamu yang bertuah ini, jangan diberi kurang makan. Jika engkau kurang menjagainya, nescaya lenyaplah ia daripadamu”. Setelah sudah ia berpesan kepada gembala unta itu, maka ia pun baliklah kemakam tempat tinggalnya berdiam diri, dan gembala itu pun pergilah kedusunnya, sentiasa ia menjaga kudanya itu dengan jagaan yang amat sangat.

Dalam hal yang demikian, maka satu hari gembala unta itu hendak pergi kedusun melihat bapanya. Pada waktu ia hendak pergi itu, berpesanlah ia paa isterinya, katanya “Aku hendak pergi melihat bapaku, dalam dua hari ini aku akan balik. Dalam dua hari ini jagalah baik-baik akan kuda kita itu”. Sesudah ia berpesan kepada isterinya itu, pergilah ia kedusun bapanya. Maka isteri gembala unta itu pun senantiasalah menjaga kuda itu sebagaimana yang dipesan oleh suaminya itu. Maka datanglah Umar Umaiyah hendak berjumpa gembala unta itu, dilihatnya isteri gembala unta itu sedang memerhatikan kudanya makan rumput. Maka Umar Umaiyah pun bertanya kepada isteri gembala unta itu “Sahim itu kemana perginya?”. Maka jawab isteri gembala unta itu, “Sahim itu pergi ziarah bapanya, lepas dua hari baru ia balik”. Apabila didengar Umar Umaiyah demikian, sukacitalah hatinya, seraya ia berkata “Apabila ia balik kelak sampaikan salamku kepadanya. Aku datang ini hendak berjumpa dengan dia, kerana aku hendak belayar esok hari”. Setelah sudah ia berkata demikian, maka ia pun pulanglah kemakam tempat tinggalnya.

Pada waktu tengah malam itu, Umar Umaiyah pun memakai pakaian cara pencuri, lalu pergilah ia kerumah gembala unta itu, dicurinya kuda itu, dibawa ketanah jirat tempat tinggalnya. Setelah keesokan harinya, pada waktu pagi-pagi, dibawanyalah kuda itu keistana Raja Abrahah. Setelah sampai, maka disuruhnya penunggu pintu istana persembahkan kepada Raja Abrahah bahawa ia datang hendak mengadap. Maka titah baginda “Suruhlah ia masuk mengadap”. Maka Umar Umaiyah pun menambatkan kudanya dan lalu masuk mengadap. Titah Raja Abrahah, “Hai Ra’is al muwali, apa khabarmu datang kemari ini?’. Maka sembah Umar Umaiyah “Ya Syah Alam, ada pun hamba ini ada menaruh hajat. Sekian lamanya sudah hamba menjadi hamba kebawah duli Syah Alam, tiada ada barang satu pun kebaktian hamba kebawah duli Syah Alam. Pada hari ini hamba beroleh seekor kuda daripada anak kuda semberani, yang hamba sambar dari saudara hamba yang datang kenegeri ini. Pada tatkala hamba sambar kuda itu, hajat hamba hendak persembah pada kadam duli Syah Alam. Maka titah Raja Abrahah “Apa ertinya sambar itu?” Maka sembah Umar Umaiyah “Berubah tempat, daripada suatu tempat kesuatu tempat, demikian ertinya pada loghat Mesir, tuanku”. Maka Raja Abrahah pun mengertilah maksud didalam loghat Mesir itu, iaitu diambil dari suatu tuan kepada suatu tuan, menurut lazim percakapan orang negeri Mesir itu. Maka titah Raja Abrahah “Barulah hari ini aku tahu loghat bahasamu itu, bawalah kemari kuda itu, aku hendak lihat”. Maka dibawalah oleh Umar Umaiyah kuda itu kehadapan Raja Abrahah.

Setelah dilihat baginda, maka perkenanlah baginda akan kuda itu, tambahan pula dari jenis kuda semberani. Maka disuruh baginda tambat bersama-sama kuda yang banyak itu. Kemudian Raja Abrahah pun mengurniakan hadiah persalinan kepada Umar Umaiyah. Maka Umar Umaiyah pun memuji-muji Raja Abrahah dengan setinggi pujian. Setelah selesai ia memuji itu maka Umar Umaiyah pun menyembah Raja Abrahah, lalu balik kemakam tempat tinggalnya dijirat itu.

Tersebutlah pula cerita bini gembala unta itu, apabila ia bangkit daripada tidurnya pada waktu pagi, pergilah ia melihat kudanya. Alangkah berdebar hatinya melihat kudanya tiada lagi dalam bangsalnya. Didalam hatinya berkata-kata “Kemana perginya kudaku ini, siapa pula menyambarnya?”. Maka dicarinya kesana kemari tiada juga berjumpa, lalu pulanglah ia kerumahnya duduk dengan kemasyghulan. Dalam pada hal yang demikian itu, maka suaminya pun baliklah, lalu dikhabarkanlah oleh isterinya itu kepada suaminya bahawa kuda itu sudah hilang, puaslah dicarinya tiada berjumpa. Maka menampar-nampar dadalah gembala itu sambil berkata “Betapa gerangan menjadi hal yang demikian ini, kemana perginya gerangan kuda bertuah itu?. Selagi ada hayatku akan kucari juga”. Sesudah itu lalu ia pun berjalan kesana kemari, masuk kedalam kampung orang mencari kuda itu, akhirnya pergilah ia kerumah saudagar yang dicuri oleh Umar Umaiyah kudanya itu. Maka ia pun bertanya kepada saudagar itu “Ya Sahib, adakah ada seekor kuda hitam yang elok sifatnya kemari, berkawan dengan kuda tuanhamba?”. Maka kata saudagar itu “Kuda hitam dahinya putihkah?”. Maka sahut gembala unta itu “Benar tuan”. Maka kata saudagar itu “Itulah kudaku, disambar oleh orang akan dia, dibawanya dijualkan kepadamu. Asalnya kuda itu aku yang empunya, tiada syak lagi. Berapa lamakah sudah dijualnya kepada kamu?”. Maka jawab gembala unta itu “Baru dalam sedikit hari sahaja”.

Coolie Version

Sabtu, April 19, 2008

Bab 03 Bah 1 - UMAR UMAIYAH MENJADI KADHI NEGERI YAMAN






Pada satu hari ketika Umar Umaiyah sedang berjalan2 dipekan pesara negeri Yaman bertemulah ia dengan seorang saudagar membawa beberapa ekor kuda yang hendak dijualnya. Umar Umaiyah pun pergi kepada saudagar itu sambil memberi hormat “ Ya datok saudagar, jika ada belas kasihan pada hamba yang hina papa ini berilah pekerjaan pada hamba membela kuda tuan hamba itu”. Saudagar itu pun merasa belas kasihan dan disuruhnya Umar Umaiyah menjaga kudanya yang berpuluh ekor itu. Maka dikerjakanlah oleh Umar Umaiyah, pada malam hari baliklah ia kemakam jiratnya itu dan pada siang hari pergilah ia kerumah saudagar itu. Demikianlah halnya setiap hari hingga sampai pada ketika ia hendak menunjukkan pekertinya yang nakal itu. Maka dicarinya seekor keldai yang serupa bulu dan rupanya seperti rupa kuda saudagar itu, dibelinya dan dibawa ketempatnya dijirat itu. Setelah sudah bersiap pada malam itu dengan tiada pengetahuan sesiapa pun dibawanyalah keldai itu, ditambatnya pada tempat kuda kesayangan saudagar itu dan kuda itu pun dibawanya pergi dan ditambatkannya hampir dengan makam tempat tinggalnya.

Pada keesokan paginya pergilah Umar Umaiyah bertemu dengan saudagar itu dan berkata dengan suara yang nyaring seperti orang terkejut kehairanan “ Ya datok saudagar, kuda yang hamba bela itu telah menjadi bapa keldai, betapa gerangan halnya boleh menjadi demikian itu hamba pun tiada tahu” Saudagar itu pun berdebar2 hatinya mendengar hal yang demikian lalu berkata “ ah, tiada masuk di akalku mustahil kuda boleh menjadi keldai pula” Setelah itu ia pun pergilah ketempat kudanya itu dan dilihatnya sungguh seperti kata Umar Umaiyah itu. Lalu hairan dan takjublah ia tiada terkata2 lagi lalu tunduk melengung. Maka kata Umar Umaiyah “ya datok saudagar, mengapa tuan hamba melengung? Bukankah kuda dengan himar ini serupa saja rupanya? Barang ketahuilah tuan hamba, ada pun kuda itu asalnya himar jua, dan sekarang ini bapa kuda itu menunjukan asalnya, apalah hendak dihairankan dalam hal begini” Saudagar itu pun tidak terkata2 lagi lalu bangkitlah ia hendak pulang kerumahnya. Umar Umaiyah pun berkata “hamba pun hendak pulang kemakam hamba” Saudagar itu pun bertanya “kudaku ini betapa halnya?” sahut Umar Umaiyah “tiadalah hamba tahu”. Umar Umaiyah pu berjalan balik kerumahnya dijirat itu dan apabila sampai kemakamnya fakir2 anak muridnya pun bertanya “ya sheikh, dimana tuan hamba peroleh kuda kenaikan yang baik rupanya ini?” dan jawab Umar Umaiyah “dikurniai raja kepadaku, kerana aku banyak berbuat kebaktian kepada baginda”

Kira2 sepuluh hari kemudian Umar Umaiyah pun membawa kudanya pergi kedalam negeri sambil ia memperaga2kan kudanya pada segala khalayak katanya “Siapa hendak membeli kuda semberani, asalnya kuda ini dari himar” Dan ditanya orang kepadanya “berapa harganya, jika engkau kata yang demikian itu. Engkau seru bangsanya berapa harganya hendak engkau menjual kudamu itu?” Kata Umar Umaiyah “seratus dinar tunai”. Maka dibelilah oleh orang bertanya akan kuda itu dan setelah diterima Umar Umaiyah harga kuda itu ia pun berpesan kepada orang yang membeli kuda itu “tambatlah kuda ini baik2 jangan engkau alpa akan ia, apabila teringat akan ibunya nescaya nanti diputuskan tali penambatnya pergi kepada ibunya, apabila ia putus dari tambatan tiadalah kamu beroleh kembali melainkan sudah menjadi harta orang”. Setelah berpesan Umar Umaiyah pun baliklah kemakamnya.

Tiga hari kemudian Umar Umaiyah pergi melihat kuda itu didapati ada tertambat tiada diambil peduli oleh orang yang membeli itu. Kemudian pergilah ia mendapatkan saudagar yang dahulu, lalu ditegur oleh saudagar “hai miskin, kemana engkau telah pergi, sudah lama aku tidak melihat engkau ini?” Jawab Umar Umaiyah “ya datok, hamba beroleh sakit, demam, sebab itu tiada hamba kemari membela kuda tuan hamba, sekarang ini pulihlah sedikit, bolehlah hamba membela kuda tuan hamba”. Kata saudagar itu “jika engkau rasa tubuh engkau sudah segar, belalah kudaku itu”. Umar Umaiyah pun membela kuda saudagar itu. Empat hari kemudian pergilah ia membuat baik kepada orang yang membeli kuda semberani itu, dan dapatlah ia keluar masuk didalam kampung mereka.

Pada satu petang Umar Umaiyah berpura2 baring ditepi bangsal tuan kuda itu lalu ditanya oleh tuan kuda itu “hai miskin, mengapa engkau berbaring ditempat yang kotor ini?” Jawab Umar Umaiyah “hamba beroleh sakit kepala, lepas lega sikit rasanya barulah hamba balik kerumah hamba”. Maka tuan kuda itu pun tiada ambil peduli lagi. Pada waktu tengahmalam Umar Umaiyah pun menghuraikan tali penambat kuda itu lalu dituntun kuda itu balik kemakamnya. Pada waktu subuh sebelum cerah dibawanyalah kuda itu kerumah saudagar itu dan ditambatnya ditempat keldai. Kemudian dituntun keldai itu dibawa kerumah orang yang membeli kuda itu lalu ditambatkan pula ditempat kuda itu. Kemudian ia pun balik kemakam tempat tinggalnya.

Pada pagi itu setelah naik matahari Umar Umaiyah pun pergi kerumah saudagar itu dan dilihat saudagar sedang duduk dengan seorang kawannya. Apabila terlihat akan Umar Umaiyah saudagar itu pun berkata “hai miskin, himar itu sudah menjadi kuda pula”. Kata Umar Umaiyah “demi lata wa manat, himar bertukar menjadi kuda adalah alamat yang baik nasib tuan hamba, menunjukan kasih tuhan keatas seorang hambanya”. Sukalah hati saudagar itu mendengar perkataan Umar Umaiyah lalu diberinya hadiah persalinan.Umar Umaiyah pun memuji2 saudagar itu kemudian ia pun baliklah kemakamnya tempat tinggalnya.

Keesokan harinya pada waktu pagi Umar Umaiyah pun pergi kerumah orang yang membeli kuda itu, maka kata tuan rumah “hai darwish, kuda yang engkau jualkan pada aku itu telah bertukar menjadi keldai pula”. Sahut Umar Umaiyah “ itu memang perkara selalu terjadi, janganlah dihairankan. Adapun kuda itu asalnya keldai sebab itulah ia menjadi keldai. Dalam negeri Mekah, banyak keldai menjadi kuda, dan kuda menjadi keldai, akan kuda yang aku jualkan pada engkau itu, setahun sekali ia berubah akan rupanya. Pada fikiran aku sudahlah cukup pada ketika tahunnya ia berubah rupa itu. Jika ada hayat, pada tahun hadapan ia nanti menjadi kuda semula, janganlah engkau bersusah hati” Tuan kuda pun tidak berkata2 lagi dan berdiam diri. Umar Umaiyah pun baliklah kemakam tempat tinggalnya sambil duduk mencari2 akal apa pula yang hendak dibuatnya.

Setelah duduk berfikir2 itu ia pun berjalan pergi kesebuah dusun. Didalam dusun itu dilihatnya berbelas ekor baghal (sejenis keldai) sedang memakan rumput lalu ia pergi menghampiri kawanan baghal itu dan dilihat seekor baghal itu ada bertanda hitam diperutnya. Setelah diamati baghal itu baik2 ia pun pergi mengadap hakim yang ada dalam dusunnya dan mengadu “ya tuan hakim, ada seekor baghal hamba sudah terlepas lari, datang ia berkawan dengan baghal tuan dusun itu, hendak hamba ambil tiada diberi oleh tuan dusun itu, sebab itulah hamba datang mengadu pada tuan hakim” Hakim itu pun memanggil pegawainya disuruh pergi bersama Umar Umaiyah membawa keldai itu kepadanya. Ketika pengawai dan Umar Umaiyah datang mengambil baghal itu datanglah tuan dusun itu lalu berkata “janganlah diambil baghalku” Jawab pegawai itu “hukum hakim suruh aku datang mengambil baghal ini, dan ia kepunyaan orang dagang ini, engkau curi akan ia”. Pegawai itu pun menangkap tuan punya baghal itu dan dibawa pergi mengadap hakim. Ditanya hakim pada tuan punya baghal itu “dimana engkau peroleh baghal ini? Apa tandanya baghalmu itu?” dan dijawab tuan punya baghal “baghal ini sememangnya anak baghal hamba”. Kemudian ditanya pula oleh hakim kepada Umar Umaiyah “hai musafir, dimana engkau peroleh baghal ini dan apa tandanya baghalmu itu?” Jawab Umar Umaiyah “ya tuan hakim, ada pun baghal ini hamba bawa dari negeri Syam, dan ada satu tanda hitam pada pusatnya”. Hakim pun menyuruh pegawainya memeriksa akan baghal itu lalu pegawai itu berkata “ya tuan hakim, ada tanda hitam pada perut baghal ini” Kemudian hakim berkata kepada tuan punya baghal itu “engkau ini berkata dusta, aku hukum penjara kamu kerana baghal itu sudah tentu kepunyaan musafir itu. Hai musafir, oleh kerana baghal ini engkau yang punya ambillah ia, janganlah dilepaskan lagi”. Umar Umaiyah pun membawa baghal itu pulang kemakam tempat tinggalnya.

Apabila dilihat segala fakir anak muridnya akan Umar Umaiyah membawa balik baghal itu, bertanyalah mereka “ya sheikh, dimanakah diperoleh baghal ini?” Sahut Umar Umaiyah “aku peroleh dari sahabatku yang baru datang dari negeri Syam, ia beri hadiah akan daku” Kemudian bertanya seorang fakir muridnya “kuda tuan syeikh itu kemana perginya?’ Jawab Umar Umaiyah “disambar oleh penyamun didusun lalu dibawa pergi ketempatnya, tetapi tuhan lata wa manat memberi ganti akan aku menyuruh mengenderai baghal itu”. Setelah itu Umar Umaiyah menyuruh bela baghal itu dan segala fakir pun menjadi gembala baghal itu.

Coolie Version

Rabu, April 02, 2008

Bab 02 Bah 5 - UMAR UMAIYAH PERGI KE NEGERI YAMAN, RAJA ABRAHAH DIPERDAYAKAN NYA







Tersebut kisah Umar Umaiyah yang duduk didalam kawasan jirat bersama2 fakir2 muridnya, sesiapa yang hendak menanam mayat diambil satu dinar bagi setiap mayat. Perkhabaran itu pun sampai pada Raja Abrahah lalu dipanggilnya Umar Umaiyah yang kemudian datang mengadap raja. Titah raja “ hai Ra’is al muwali, siapakah yang menyuruh engkau mengambil satu dinar pada setiap mayat?” Sembah Umar Umaiyah “ ya Shah Alam, sekitranya tidak hamba ambil dinar itu sekelian ahli kubur menyumpah hamba, dan apabila hamba ambil menjadi salah pula”. Titah raja pula “ mengapa ahli kubur menyumpah akan engkau? Dan dimana kamu ketahui disumpah akan engkau?”

Sembah Umar Umaiyah “ ya Shah Alam, pada tiap2 malam hamba mendengar kubur itu berbunyi seperti orang memalu ahli kubur itu, dan terlihat pada hamba penunggu kubur memegang tongkat pada tangannya. Datang kehalaman makam tempat hamba tinggal dan berseru “hai muwali, beritahulah segala waris ahli kubur ini, jika tidak memberi aku makan nescaya aku siksa arwah ahli kubur itu” demikianlah halnya penunggu kubur pada setiap malam, diperazabnya segala orang mati kemudian datang mengharu kepada hamba dan pada satu malam hamba perjamu akan dia, dan mulai dari malam itu tiada lagi hamba mendengar suara menjerit2 dari kubur itu, dan hamba pada setiap malam menjamu penunggu kubur itu sehingga habislah dinar hamba, dan pada malam ini apalah yang hendak hamba perjamu akan ia, tak dapat tidak datanglah ia mengharu akan hamba pula”

“Tidak dapatkah engkau melawannya?” tanya raja lalu dijawab “ ya Shah Alam, manalah boleh akan manusia hendak melawan syaitan, Cuma jika hendak menghalaunya hendaklah diberi habuan hatinya”. Tanya raja “ apakah makanan yang hendak diperjamukannya?”. Sembah Umar Umaiyah, “ ya Shah Alam, adalah makanannya itu benda yang merah tidak berupa dan benda yang putih tidak berupa”. Raja bertanya “ apakah erti semua benda2 ini?”. Sembah Umar Umaiyah, “ada pun benda yang merah itu emas ketul dan benda yang putih itu perak ketul tuanku, adapun kedua2nya hamba lontarkan padanya tatkala ia menampakkan dirinya, apabila ia mendapat kedua2 benda ini maka lenyaplah ia daripada kawasan jirat ini” Raja Abrahah pun percaya akan kata2 Umar Umaiyah lalu memberi 2 ketul emas dan perak lalu diambil dan dibawa pulang kerumah dengan sukacitanya.

Tidakberapa lama kemudian Umar Umaiyah dipanggil mengadap Raja Abrahah lalu raja pun bertanya “apa sudah jadi dengan penunggu kubur itu?”. Sembah Umar Umaiyah “ ya Shah Alam, hamba telah halau akan ia dan bersumpahlah ia selagi hamba ada didalam jirat itu ia tidak akan hampir kepada jirat itu”. Titah Raja Abrahah “jika begitu janganlah kau undur dari situ, duduklah menjaga jirat itu baik2”. Umar Umaiyah pun tiadalah khali (sentiasa; kerap) daripada pergi mengadap Raja Abrahah dan baginda pun semakin menaruh kasih sayang akan dia.

Selang tidak berapa lama kemudian matilah putera Raja Abrahah lalu dikuburkan didalam kawasan jirat itu. Setelah selesai menanam mayat putera raja pulanglah semua orang kerumah masing2. Umar Umaiyah pun mencari muslihat hendak memperdayakan Raja Abrahah, lalu ia membeli seekor anak keldai hitam dipulasnya leher anak keldai itu sampai mati. Ditengah malam waktu alam senyap sunyi Umar Umaiyah pun pergi menggali kubur putera raja itu, dikeluarkan mayat putera raja itu dan ditanamkan pada lubang yang lain kemudian dimasukkan bangkai anak keldai hitam itu didalam kubur putera raja itu. Setelah selesai duduklah ia berdiam diri seperti orang yang salih.

Dua hari kemudian dengan berpakaian cara yang patut Umar Umaiyah pun pergi mengadap Raja Abrahah dengan ratap dan tangisnya, serta menampar2 dadanya terlentang tertiarap sambil mengoyak bajunya dan berseru2 “ ya tuhan lata wa manat, mengapa engkau menyiksa hambamu yang belum baligh itu, ampunilah dosanya “ Apabila raja melihat ia pun menjadi takjublah lalu bertanya Umar Umaiyah “ya Ra’is al muwali, kenapa engkau berbuat seperti ini, apakah sebabnya terjadi begini?”. Umar Umaiyah pun berdatang sembah “Ampunkan kesalahan hamba ini, jika tidak hamba sembahkan kebawah kadam duli Shah Alam, semalam ketika hamba lena tidur, datang guru hamba memberitahu putera raja telah bertukar menjadi keldai hitam dan menjerit2 didalam kuburnya. Apabila hamba mendengar kata guru hamba itu hamba pun terkejut jaga. Kemuian hamba pun pergi melihat kubur anakanda raja dan hamba dapati seekor anak keldai hitam terlantar idalam kubur itu. Apabila hamba lihat, hati hamba berasa dukacita, tidak dapat tidur lagi hingga sampai kepagi ini. Kepada sesiapa pun hamba tidak ceritakan dan hamba pun datang persembahkan kebawah kadam duli tuanku”

Apabila Raja Abrahah mendengar demikian baginda pun berangkat dari istana menuju kekubur itu lalu didapati ada seekor anak keldai hitam terlantar. Baginda pun bertitah kepada Umar Umaiyah “hai Ra’is al muwali, apakah yang perlu dikerjakan supaya kembali bertukar anakku ini kepada manusia?” Jawab Umar Umaiyah “ya Shah Alam, menurut seperti pematah guru hamba itu, cara menukar gantinya hendaklah diperbuat rupa ganti anakanda itu daripada emas ditanamkan dalam kubur itu, nescaya pulang pulihlah seperti sediakala, berubah rupa keldai itu balik kerupa manusia”. Raja Abrahah pun percayalah akan kata2 Umar Umaiyah lalu baginda menitahkan pandai emas membuat bentuk manusia daripada emas merupai putera baginda.

Setelah siap diperbuat pandai emas itu akan bentuk rupa putera raja itu lalu diberikan pada Umar Umaiyah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Pada waktu tengah malam dengan tidak diketahui sesiapa pun Umar Umaiyah telah pergi mengeluarkan bangkai anak keldai itu dari kubur putera raja itu, kemudian dibawa mayat putera raja itu dimasukkan dalam kubur itu, dikambusnya dengan tanah, kemudian bangkai anak keldai itu dipikulnya dan dibuangkan jauh dari kubur itu. Setelah selesai Umar Umaiyah pun baliklah ketempatnya, dibangunkan semua fakir2 dan anak muridnya dan disuruh mereka membaca mentera mengikut gaya lagu quraisy Ya himar haddil jasada ‘ala mantil insan! (hai keldai tukarlah tubuhmu pada manusia yang mati ini) dan katanya “baca setiap orang dari kamu sebanyak 1000 kali dengan suara yang boleh kedengaran pada orang lain. Segala fakir itu pun mengerjakanlah segala ajaran Umar Umaiyah dan bergemalah bunyi suara mereka ditanah jirat itu hingga naik matahari.

Setelah itu Umar Umaiyah pergi mengadap raja sambil berdatang sembah “ya Shah Alam, malam tadi telah hamba pohon pada tuhan kita Lata wa Manat minta dipulangkan rupa paduka anakanda kembali keasalnya. Tuhan kita pun melimpahkan rahimnya kepada hamba dijadikan anakanda itu kepada rupa asalnya. Silalah tuanku pergi lihat adakah bohong atau benar sembah hamba ini, supaya tuanku saksikan sendiri”. Raja Abrahah pun berangkat diiringi hulubalang menteri dan Umar Umaiyah pun bersama mengiring baginda. Setelah sampai dijirat itu baginda pun menyuruh gali kubur putera baginda, dan digali oranglah kubur itu. Setelah baginda melihat putera baginda ada didalam kubur itu, maka baginda menyuruh kambus semula kubur itu dan kemudian dianugerahkan beberapa hadiah persalinan kepada Umar Umaiyah dan teramat sukacitalah ia menerima hadiah lalu dipujinya Raja Abrahah dengan setinggi2 pujian. Sesudah itu Umar Umaiyah pun duduklah didalam makam di jirat itu bersama fakir2, anak muridnya itu, bersuka2an setiap hari.

Coolie Version

Selasa, April 01, 2008

Bab 02 Bah 4 - UMAR UMAIYAH PERGI KE NEGERI YAMAN, RAJA ABRAHAH DIPERDAYAKAN NYA






Setelah setengah bulan Umar Umaiyah pun ingin mengetahui perihal anak saudagar itu lalu memakai pakaian cara darwish (Orang fakir yg sentaiasa hidup miskin untuk mencari kesempurnaan jiwa) dan berkata kepada semua fakir anak muridnya “janganlah kamu semua kemana2 kerana aku hendak pergi mengadap raja”. Setelah ia berpesan masuklah ia kedalam negeri dengan mata seperti kilat memancar liar memandang kesana kemari. Sewaktu tengahari sampailahlah ia dipintu rumah anak saudagar itu lalu singgah dibawah cucur atap rumah itu sambil berseru2 “ ya ahlul bait, berilah aku segelas air kerana aku dahaga dan datang dari negeri jauh” Seruan itu terdengar kepada anak saudagar itu lalu disuruh khadam memberi air kemudian Umar Umaiyah pun minum lalu memuji2 dengan perkataan yang sangat sedap2. Segala puji2 itu terdengar pada anak saudagar itu lalu disuruh khadam membawa masuk darwish itu. Umar Umaiyah pun masuk dan duduk disatu ceruk sambil tunduk memberi hormat takzim tetapi dalam pada itu matanya liar memandang keserata tempat dalam rumah itu lalu hatinya berkata “ Selagi aku belum mencapai barang dalam rumah ini belumlah puas hatiku” Dalam pada duduk itu terpandanglah sepasang kasut emas anak saudagar itu maka berdirilah bulu romanya sambil menarik nafas dan mengurut2 janggutnya.

Tidak berapa lama kemudian berkatalah anak saudagar itu, hai darwish, bolehkah engkau melihat dalam nujum kamu, siapakah yang mengambil barang2 ku yang hilang itu?” Setelah mendengar Umar Umaiyah pun berdehem2 sambil bertanya “berapa lamakah hartamu telah hilang?” jawab anak saudagar “ada lebihkurang setengah bulan”. Kata Umar Umaiyah “ jika hendak cuba, bolehlah lihat dalam nujum hamba ini” sambil mengeluarkan dari bokcanya satu suratan dibuka dilihatnya sambil membilang dua jarinya kemudian dia pun membaca suratan itu “ satu merah dan satu puteh, keduanya tidak akan diperolehi” Kemudian ia menupang kepala dengan kedua tangan sambil berkata “sudah lenyap benda itu tersangat jauh perginya, disambar jin dan hantu dibawa kemana tidak tahu”

Setelah mendengarnya anak saudagar itu pun tunduk terdiam tidak berkata2 lagi . Umar Umaiyah pun bangkit berdiri lalu meminta izin untuk pulang dan anak saudagar itu pun masuklah kebiliknya. Umar Umaiyah pun menhampiri pintu itu dicapainya kasut emas dimasukan dalam bokcanya, lalu berjalanlah ia dengan tiada menoleh kekiri kanan lagi lalu pulang ketempatnya.

Ketika Umar Umaiyah tiada, seorang dari fakir anak muridnya telah masuk kedalam bilik tidur Umar Umaiyah. Dibuka bungkusan Umar Umaiyah lalu diambil 10 dinar emas ditanam dibawah sepohon pokok dalam kawasan jirat itu kemudian duduk berdiam diri seperti orang baik2. Setelah Umar Umaiyah balik didapati bungkusannya terbuka lalu diperiksa dan terkejutlah ia kerana wang sebanyak 10 dinar itu telah hilang dan merungut2 ia “ tiada siapa pun makhluk yang ambil dinarku melainkan fakir murid2 ini juga. Aku sangka tiada yang terlebih pandai dariku tetapi sekarang ada pula iyar (pencuri yang bijak) yang lebih pandai dariku. Setelah merungut2 ia pun berdiam diri seakan tiada kehilangan apa2.

Adalah menjadi kebiasaan fakir2 ini setiap pagi mereka pergi kada hajat (buang air besar) pada tempat masing2. Adapun Umar Umaiyah setiap pagi ia mengintai perihal mereka itu. Ada seorang fakir yang mencuri dinar Umar Umaiyah, sebelum kada hajat ia pergi kebawah pokok tempat menanam dinar yang dicuri itu, setelah melihat2 tempat itu barulah ia pergi kada hajat seperti kebiasaannya. Setelah diperhatikan oleh Umar Umaiyah lalu tahulah ia siapa yang mengambil dinarnya itu. Setelah itu fakir2 itu pun duduklah ditempat masing2. Umar Umaiyah pun memanggil fakir yang mencuri dinarnya disuruh kepekan pesara membeli daging. Setelah fakir itu pergi Umar Umaiyah pun pergilah kebawah pokok tempat dinar itu tertanam dan didapati ada seketul batu besar diangkatnya batu itu didapati ada dinarnya lalu diambil. Setelah itu ia pun kada hajat didalam lubang itu dikambusnya baik2 kemudian dikatupnya dengan batu itu. Setelah selesai ia pun baliklah duduk ditempatnya berdiam diri.

Fakir yang disuruh pergi kepekan pesara pun kemudian pulanglah dan memberikan daging yang telah masak kepada Umar Umaiyah lalu ia pun makanlah. Kemudian berhimpunlah segala fakir dihadapannya lalu Umar Umaiyah berkata “ hai sekelian kamu, aku ini adalah gurumu, sekarang aku berniat hendak balik kenegeriku, sebelum aku balik, aku hendak minta doa dengan tuhan lata wa manat supaya menjauhkah dahsyat didalam hati kamu itu, marilah setiap orang pada aku ini” Maka datanglah seorang fakir lalu disapu dan dihembus oleh Umar Umaiyah kepalanya. Demikianlah diperbuatnya setiap fakir yang datang padanya hingga tiba giliran fakir yang mencuri dinarnya itu lalu disapu2nya dada fakir itu sambil berkata “wahai Lata wa manat inilah hambamu yang berhati dahsyat, perjauhilah dari cita2 buruk dan akal pencuri darinya dan berilah akal yang baik padanya” Sambil menyapu2 dada fakir yang mencuri dinarnya Umar Umaiyah pun berkata kepada fakir2 yang lain “ hai segala anak muridku, jangan sesekali mengkhianati gurumu, dan jangan menaruh hajat akan harta orang, jikalau engkau mengambil harta orang menjadi haram bagimu, tambahan pula jika mengambil harta gurumu, nescaya harta itu pada zahirnya bertukar menjadi tahi, najis, inilah saja wasiatku kepada kamu sekelian”. Setelah berpesan semua fakir pun baliklah ketempat masing2. Umar Umaiyah pun masuklah kedalam makam tempatnya sambil mengintai2 akan perihal fakir itu.

Beberapa hari kemudian fakir itu pun pergi kebawah pokok tempat ia menanam dinar itu. Umar Umaiyah mengintai hal fakir yang mengangkat batu penutup lubang itu lalu terkena tahi yang berlumuran dibawah batu pada jari2 dan tapak tangannya, diciumnya lalu terlekat sedikit tahi itu pada hujung hidungnya dan kerana terlalu busuk dan berasa jijik fakir itu pun bersegera lari ketelaga hendak membasuh najis itu. Umar Umaiyah pun melaung2 dan berseru2 “ Siapa yang berlari2 hendak terjun kedalam telaga, segeralah sekelian pergi menolong ia” Maka segala fakir2 yang lain pun terkejutlah lalu masing2 memandang ketelaga dan melihat fakir itu bergopoh lari ketelaga. Maka berlarianlah mereka untuk menghalang fakir pencuri dari terjun ketelaga. Apabila dilihat fakir pencuri akan fakir yang ramai datang menghambat dari belakang, timbullah perasaan takut dalam hatinya kerana menyangka semua fakir itu telah mengetahui rahsianya. Maka semakin pantaslah ia berlari keluar dari jirat itu, kasadnya hendak pergi membasuh tangan dan hidungnya ditempat lain.

Fakir2 yang lain pun terus mengejar dari belakang sambil melaung2 kepada orang yang diluar jirat itu “ hai tuan tuan sekelian, tolong tangkap fakir gila itu kerana ia hendak membuang dirinya kedalam telaga. Maka orang2 itu pun datang mengepung, lalu fakir itu berkata “ Aku tidak gila, aku hendak membasuh tanganku, jangan rapat denganku” Apabila didengar oleh orang2 itu mereka pun menaruh syak dan ada yang berkata “ kalau hendak basuh tangan kenapa ia lari, memang sungguhlah ia gila sebab itu ia berlari”. Maka dikejarlah mereka bersungguh2 hingga dapatlah dicapai oleh seorang dari mereka tangan fakir itu. Lalu terkenalah tahi pada tangan orang itu lalu berkata “cis!, aku pun sudah terkena tahi, aku tak mau lagi menangkap sigila ini kerana ia bermain2 dengan tahi”. Sesudah itu orang ramai pun tidak mahu mengejar lagi. Maka fakir2 itu pun pulanglah dan berceritalah mereka pada Umar Umaiyah perihal fakir pencuri itu telah jadi gila. Maka kata Umar Umaiyah “ bukankah sudah ku katakan menaruh dahsyat dalam hatinya sebab itulah ia menjadi gila, dan jikalau ia datang kemari halau akan dia”. Fakir pencuri itu dari sebab malunya tiadalah ia balik lagi kejirat itu.

Tersebutlah pula kisah anak saudagar itu, setelah Umar Umaiyah pergi, disuruhnya dayang2 pergi mengambil kasut emasnya disuruh simpan. Maka dayang2 pun pergilah berhampiran muka pintu hendak mengambil kasut lalu didapati telah tiada. Dayang itu berkata “ya syeikhah, dimanakah tuanhamba meletakan kasut itu? ia tiada disini”, maka kata anak saudagar itu “ hai dayang2, butakah matamu tidak dapat melihat kasut aku itu?”. Maka jawab dayang2 “ ya sheikhah, tiada kasut itu disini”. Anak saudagar itu pun datang melihat dan tiada kasut pada tempat yang diletaknya lalu katanya “ telah hilanglah pula kasutku dicuri oleh syaitan manusia yang menyerupai dirinya bagai orang yang saleh. Tiada sesiapa yang datang kerumahku melainkan darwish celaka itulah yang mengambil kasutku. Pada malam itu dia jugalah yang mengambil pinggan dan mangkuk ku dan hari ini datang mencuri kasutku, Dimana hendak kucari sicelaka ini?” Maka duduklah anak saudagar berdiam diri dalam kemasyghulannya, tiadalah terlintas dihatinya hendak belajar ilmu tarikat quraisy lagi.


Coolie Version

Rabu, Mac 26, 2008

Bab 02 Bah 3 - UMAR UMAIYAH PERGI KE NEGERI YAMAN, RAJA ABRAHAH DIPERDAYAKAN NYA







Umar Umaiyah pun tunduk sujud kepada Raja Abrahah lalu pergi duduk dirumah muwali itu serta menggelarkan dirinya Ra’is al muwali iaitu penghulu segala muwali. Mana2 fakir miskin datang hendak menumpang duduk didalam makam jirat itu dihalaunya tidak diberi duduk, katanya “ nyahlah kamu dari sini, makam ini dikurniai raja kepadaku, sesiapa yang hendak menumpang duduk hendaklah membayar sewa kepadaku”. Fakir miskin itu pun menangislah lalu pergi mengadap raja kemudian raja menitahkan Umar Umaiyah datang mengadap lalu pergilah ia mengadap. Titah baginda “ hai Dam Dam, mengapa engkau halau segala fakir miskin dari makam jirat itu?”. Sembah Umar Umaiyah “ya Syah Alam, segala fakir miskin ini adalah mereka amat makar pada siang dan malam, sentiasa membuat kotor atas kubur yang mulia2 itu, berak dan kencing, langsung tiada hormat pada ahlil kubur itu, apalah gunanya ditaruh mereka didalam makam yang mulia itu”. Kemudian Raja Abrahah bertitah “ benar katamu, jangan beri sesiapa pun duduk dalam makam itu”. Maka sukacitalah Umar Umaiyah lalu pulang kerumahnya dijirat itu.

Kerana tiada tempat lagi hendak duduk fakir miskin itu semua pun bermuafakat lalu bersetuju membayar sewa kepada Ra’is al muwali kemudian pergilah mereka kerumah Umar Umaiyah lalu berkata “ya Ra’is al muwali, benarkan kami duduk didalam makam ini dan kami akan beri sebagaimana permintaanmu itu”. Kata Umar Umaiyah “Bayar setiap orang 1 dinar setiap bulan kepada aku”. Maka redalah segala fakir miskin itu. Kata Umar Umaiyah lagi “ Selain dari itu, setiap orang dari kamu setiap hari, hendaklah masakan makanan beri pada aku”. Segala kehendaknya pun disanggupi oleh fakir miskin dan duduklah mereka disitu membuat khidmat dan menurut segala kata Umar Umaiyah.

Satu hari ditanya Umar Umaiyah pada fakir2 itu “setiap hari kamu pergi kerumah2 meminta makan adakah kamu cam sesiapa yang empunya banyak harta didalam desa ini?”. Sahut mereka “ada seorang anak perempuan seorang saudagar tetapi telah kematian lakinya yang meninggalkan banyak harta, lagi pemurah hatinya, ia perempuan yang alim lagi beriman duduk dijalan anun. Kata Umar Umaiyah “sekiranya esok engkau kesana katakan kepadanya ada seorang mualim yang pandai ilmu tarikat quraisy. Jika ia mahu belajar boleh aku ajarkan padanya”.Maka sahu fakir itu “ya sheikh, esok kami akan pergi kerumahnya memberi tahu kepadanya”.

Keesokan pagi fakir pun pergilah kerumah anak saudagar itu meminta sedekah maka diberi kepadanya. Maka kata fakir “hamba ada ada hajat hendak dimaklumkan, itupun jika sudi mendengarnya”. Kata anak saudagar itu “hai fakir katakanlah hajatmu biar aku dengar”. Kata fakir itu “ada seorang sheikh yang sangat pandai mengajar ilmu tarikat quraisy, jika ingin belajar bolehlah hamba bawa ia kemari mengadap”. Kata anak saudagar itu “aku pun berhajat hendak keMekah belajar ilmu tarikat quraisy kerana mereka yang duduk di Mekah banyak ilmunya.Sekarang engkau berkata ada seorang sheikh yang pandai, bawalah ia kerumahku pada esok malam, aku hendak cuba bertanya padanya”. Setelah itu fakir itu pun balik memberitahu Umar Umaiyah maka ia pun sukacitalah dihatinya kerana beroleh tuah.

Setelah fakir itu balik, anak saudagar itu pun menyiap dan menghias rumahnya, disuruh khadam memasak makanan yang lazat2 kerana hendak menjamu tuan sheikh itu. Keesokan paginya fakir itu pergi berjumpa anak saudagar dan bertanya “sudahkah siap kerana malam ini hamba akan bawa tuan sheikh itu” Kata anak saudagar “aku telah siap, bawalah tuan sheikh itu kemari malam ini” Kemudian fakir itu balik memberitahu Umar Umaiyah. Bersiaplah Umar Umaiyah dengan memakai pakaian cara quraisy, diwarnakan janggutnya dengan warna hitam, putih dan dikenakan pada kepalanya ketopong hitam serta dipantis keningnya dengan dakwat hitam legam. Kemudian dihias fakir miskin itu dengan cara quraisy serta berpesan “ sesiapa yang bertanya kamu katakan kamu ini anak murid dan aku ini gurumu”

Setelah berpesan hari pun hampir petang. Umar Umaiyah dan segala fakir miskin pun berjalan menuju jalan raya. Sambil berjalan Umar Umaiyah tiada putus2 membilang biji tasbih dan sesiapa yang melihatnya berasa gerun kerana menyangka tuan sheikh itu dari orang yang saleh dan ramai anak muridnya. Segala yang melihat tertanya2 sesama sendiri “Dimana diamnya tuan sheikh ini tidak kita ketahui”. Segala perkataan terdengar kepada Umar Umaiyah dan semakinlah bergaya2 lagi lakunya membilang tasbih sambil berjalan.

Tiak berapa lama berjalan sampailah mereka kerumah anak saudagar itu dan dipersilakan masuk dengan pengikutnya dan duduk diatas hamparan yang indah2 dan mulia2. Air mawar pun disembur dan hidangan pun diangkat orang kehadapannya. Umar Umaiyah melihat pinggan mangkuk itu dari emas dan perak kemudian berkatalah ia didalam hatinya “ Sebelum aku ambil sebiji dua pinggan mangkuk ini tiadalah lena aku tidur” Kemudian ia memandang kekiri kanan sambil berkata “siapa yang memanggil aku hendak belajar ilmu quraisy marilah kehadapan supaya boleh aku ajar ia”. Maka sahut anak saudagar dari sebalik tirai “ya tuan sheikh, santaplah dulu makanan itu kemudian barulah tuan hamba ajar hamba ini”.

Umar Umaiyah pu makan sambil memegang mangkuk yang berisi makanan. Setelah selesai diangkat oranglah hidangan dari hadapannya. Dalam masa orang mengangkat bekas hidangan sebiji pinggan emas dan sebiji mangkuk perak telah dimasukan Umar Umaiyah kedalam bokca (uncang). Tanpa disedari siapa pun dengan pantas dikerjakan pekerjaan mencuri itu. Setelah itu ia pergi hampir dengan tirai anak saudagar itu dan berkata “dengarlah hamba ajarkan ilmu tarikat quraisy ini baik2” Kata anak saudagar “sila ajarkan ya sheikh”. Kata Umar Umaiyah “ Ya tuhanku berhala Lata wa Manat, jauhkan hak kami dari diambil oleh pencuri”. Setelah selesai diajarkan iapun berkata “ingatlah baik2 pengajaranku jangan lupa, siang dan malam amalkannya, supaya dipelihara tuhan kita Lata wa Manat itu”

Setelah itu Umar Umaiyah dengan anak murudnya pun baliklah ketempat mereka. Umar Umaiyah pun berpesan “Jangan sesiapa pun keluar dari sini selama 10 hari kerana aku dalam pantang, dan sesiapa yang datang bertanya kamu janganlah berkata2 dengannya takut dimurkai tuhan kita Lata wa Manat sebab aku sudah mengajar ilmuku kepada anak saudagar itu dan seperkara lagi janganlah kamu buka rahsia ini takut ada orang lain juga hendak belajar, sebab anak saudagar itu alim aku suka mengajarnya”. Maka kata fakir2 itu “jika ada orang datang bertanya kami akan diam diri tidak mahu menyahut”. Umar Umaiyah dan fakir2 itu pun duduklah dimakam jirat itu.

Tersebutlah kisah anak saudagar itu, maka pada pagi esok datanglah dayang memberitahu sebiji pinggan emas dan sebutir mangkuk perak telah lenyap dan tidak diketahui siapa yang mengambilnya. Setelah mendengar khabar itu berdebarlah hatinya dan berkata “Pinggan dan mangkuk itu adalah pusaka bundaku yang dikurnia padaku, sekarang sudah lenyap dari mataku, Hai dayang, suruhlah tafahus (selidik sungguh2) cari keserata tempat supaya jumpa hartaku itu”. Maka sembah mak inang , “ya tuan anakanda, jika tidak juga berjumpa pusaka bonda maka telah disambar iblis, pencuri, penyamun yang datang kesini iaitu tuan sheikh yang bijak bistari mengajar anakanda ilmu yang bahari dan harta benda yang dikasih pun habis dicuri. Sesungguhnya hamba syak tuan sheikh itu menyamar diri, kalau benar ia mufti, adakah namanya terkenal keserata negeri? Tiba2 datang sebagai guru menyamar diri, seperti orang berbudi pekerti”.

Sahut anak saudagar itu “ ya mak inang pengasuhku, janganlah dikata demikian kerana tuan sheikh itu daripada orang berilmu tentulah takut berbuat pekerjaan begitu”. Setelah berkata anak saudagar itu pun mennyuruh mak inang mencari keserata tempat dan ceruk tetapi tiada berjumpa ia, dan duduklah ia dalam kemasyghulan. Anak saudagar itu pun tidak menceritakan perihal itu pada sesiapa pun kerana ia anak orang kaya jika satu yang hilang sepuloh ada lagi.

Coolie Version

Label

 
 
Photobucket
Google

Flower Horn