This Page is best viewed with FIREFOX
PhotobucketPhotobucket PhotobucketPhotobucket PhotobucketPhotobucket Photobucket PhotobucketPhotobucket
PhotobucketPhotobucketPhotobucket
سيد ازاهار العدروس

Buat muka ketat, tipu sikit-sikit (Make tight face, little little bullshit)



Under construction. opps .... renovation

Jumaat, Jun 13, 2008

Bab 03 Bah 2 - UMAR UMAIYAH MENJADI KADHI NEGERI YAMAN




Beberapa hari kemudian Umar Umaiyah pun membawa baghalnya itu hendak dijualnya kepada gembala unta, maka dibelilah oleh gembala unta itu. Umar Umaiyah pun berkata kepada gembala unta itu “Adapun baghalku ini dalam sedikit hari lagi akan menjadi bapak kuda hitam, berbahagialah kamu kerana akan beroleh harga yang tinggi kelak” Demi didengar akan oleh gembala unta itu ia pun berkata “ Jika benar akan katamu itu, nanti akan kuberikan hadiah kepadamu sekadar miskin ku ini”. Sahut Umar Umaiyah “Demi lata wa manat, memang sungguh seperti kataku ini”. Setelah itu Umar Umaiyah pun baliklah kemakam tempat tinggalnya. Maka keesokan harinya, waktu pagi-pagi Umar Umaiyah pun pergilah kerumah saudagar tempat ia membela kuda itu. Maka ditanya oleh saudagar itu “ hei miskin, kemana engkau pergi selama ini, tiada engkau datang kesini?”. Maka jawab Umar Umaiyah “ Hamba ini orang miskin, hamba pergi mencari nafkah. Pada hari ini ada senang sedikit maka hamba datang kemari hendak berjumpa tuanhamba, kerana hajat hati hamba hendak memaklumkan pada tuanhamba meminta izin, hamba hendak kembali kenegeri hamba, lamalah sudah hamba meninggalkan ibu bapa hamba. Jika ada belas kasihan tuanhamba, hamba pinta kepada tuanhamba, kurnia sedekah barang sedikit jua, hendak buat bekal dalam perjalanan kelak”. Pada sangkaan saudagar itu sungguhlah perkataan Umar Umaiyah itu, lalu diberikanlah hadiah akan Umar Umaiyah persalinan. Maka diambil oleh Umar Umaiyah serta dipujinya akan saudagar itu, lalu ia pun baliklah ketempat tinggalnya.

Pada tengah malam itu, dengan tiada setahu sesiapa pun, pergilah Umar Umaiyah masuk kedalam kampung gembala unta itu, diambilnya baghal yang dijualnya itu, dibawa pergi kekandang kuda saudagar itu lalu ditambat baghal itu dikandang saudagar, akan kuda saudagar itu dibawa pergi kerumah gembala unta itu. Kemudian iapun baliklah kemakam tempat tinggalnya. Maka pada pagi esoknya gembala unta itu pergilah kekandang tempat belaan, tiba-tiba dilihatnya ada seekor kuda tertambat pada tempat baghal yang baru dibelinya. Maka ia pun hairan, dalam hatinya berkata “kemana pula pergi baghal yang kubeli itu? Kuda siapa pula yang datang kemari masuk kedalam kandangku ini? mimpikah atau jagakah aku ini hingga berubah pandanganku” Kemudian ia memanggil isterinya lalu bertanya “Adakah kau lihat apa yang ada didalam kandang itu?” Maka jawab isterinya “Aku lihat ada seekor kuda hitam”. Lalu ia bertanya lagi “Bukankah baghal yang ku beli?” Maka jawab isterinya “ Mana pula ada baghal, hanya yang ada kuda jua”. Sekali lagi gembala unta itu bertanya isterinya “Benarkah katamu itu?” Jawab isterinya “Demi tuhanku uzza, tiada aku berkata dusta”. Tiada juga gembala unta itu percaya, disangka dirinya itu didalam mimpi jua, lalu ia bertanya kepada isterinya “Cuba kau lihat, panjangkah telinganya?” Maka sahut isterinya “Ah, ada pula kuda bertelinga panjang, baghallah yang panjang telinga” Sesudah itu gembala itu pun masuklah kerumahnya duduk dengan hairannya memikirkan baghalnya bertukar kepada kuda itu.

Tiada berapa ketika kemudian Umar Umaiyah pun sampailah kerumah gembala unta itu, seraya ia berseru katanya “ Hai tuan rumah, keluarlah daripada rumahmu!” Maka disahut gembala itu “Ya aku ada sedang mimpi”. Apabila didengar oleh Umar Umaiyah, diketahuinyalah bahawa gembala unta itu sedang berbaring-baring sambil berfikir. Demi dilihat oleh gembala itu akan Umar Umaiyah, maka dikenalnya lalu ia pun bangkitlah dari tempat tidurnya datang duduk dekat dengan Umar Umaiyah. Maka ditanya oleh Umar Umaiyah “Kenapa aku lihat engkau ini seperti orang berfikir panjang amat?” Maka kata gembala unta itu “ Ya sheikh, engkau pandang akan aku ini jagakah atau tidurkah?” Maka kata Umar Umaiyah “Aku lihat engkau ini tidak tidur dan tidak juga mati, melainkan sedang memikir akan hal baghal sudah menjelma menjadi kuda”. Maka sahut gembala unta itu “Ya sheikh, benar katamu itu”. Maka kata Umar Umaiyah “Pergi basuhlah mukamu dahulu, sesudah itu bolehlah kita bercakap fasal baghal itu”.

Maka gembala unta itu pergilah membasuh mukanya, kemudian datanglah ia mengadap Umar Umaiyah. Maka kata Umar Umaiyah “Bukankah sudah aku katakan tatkala aku menjual baghal itu kepadamu, tidakkah engkau ingat akan kataku, dalam sedikit hari ini, nanti ia menjadi kuda hitam? Pada hari ini sudahlah sampai pada ketikanya ia menjadi kuda, apakah engkau hendak berfikir banyak-banyak lagi?” Demi didengar gembala unta itu akan perkataan Umar Umaiyah, baharulah ia ingat, lalu ia pun menjawat kadam Umar Umaiyah seraya berkata “Marhaba ya sheikh, barulah aku ingat”. Setelah itu disuruh segera isterinya bawa makanan beri kepada Umar Umaiyah. Maka makanlah Umar Umaiyah, kemudian ia pun berkata “Aku datang ini hendak menuntut seperti janjimu itu”. Maka dengan seketika itu juga gembala itu memberi hadiah emas dan perak sekadar miskinnya itu. Maka diambil Umar Umaiyah dan dimasukan kedalam bokcanya dan dipuji-pujinya gembala itu dengan pujian yang mulia-mulia. Kemudian iapun berkata “Ya saudara, jaga baik-baik akan kudamu yang bertuah ini, jangan diberi kurang makan. Jika engkau kurang menjagainya, nescaya lenyaplah ia daripadamu”. Setelah sudah ia berpesan kepada gembala unta itu, maka ia pun baliklah kemakam tempat tinggalnya berdiam diri, dan gembala itu pun pergilah kedusunnya, sentiasa ia menjaga kudanya itu dengan jagaan yang amat sangat.

Dalam hal yang demikian, maka satu hari gembala unta itu hendak pergi kedusun melihat bapanya. Pada waktu ia hendak pergi itu, berpesanlah ia paa isterinya, katanya “Aku hendak pergi melihat bapaku, dalam dua hari ini aku akan balik. Dalam dua hari ini jagalah baik-baik akan kuda kita itu”. Sesudah ia berpesan kepada isterinya itu, pergilah ia kedusun bapanya. Maka isteri gembala unta itu pun senantiasalah menjaga kuda itu sebagaimana yang dipesan oleh suaminya itu. Maka datanglah Umar Umaiyah hendak berjumpa gembala unta itu, dilihatnya isteri gembala unta itu sedang memerhatikan kudanya makan rumput. Maka Umar Umaiyah pun bertanya kepada isteri gembala unta itu “Sahim itu kemana perginya?”. Maka jawab isteri gembala unta itu, “Sahim itu pergi ziarah bapanya, lepas dua hari baru ia balik”. Apabila didengar Umar Umaiyah demikian, sukacitalah hatinya, seraya ia berkata “Apabila ia balik kelak sampaikan salamku kepadanya. Aku datang ini hendak berjumpa dengan dia, kerana aku hendak belayar esok hari”. Setelah sudah ia berkata demikian, maka ia pun pulanglah kemakam tempat tinggalnya.

Pada waktu tengah malam itu, Umar Umaiyah pun memakai pakaian cara pencuri, lalu pergilah ia kerumah gembala unta itu, dicurinya kuda itu, dibawa ketanah jirat tempat tinggalnya. Setelah keesokan harinya, pada waktu pagi-pagi, dibawanyalah kuda itu keistana Raja Abrahah. Setelah sampai, maka disuruhnya penunggu pintu istana persembahkan kepada Raja Abrahah bahawa ia datang hendak mengadap. Maka titah baginda “Suruhlah ia masuk mengadap”. Maka Umar Umaiyah pun menambatkan kudanya dan lalu masuk mengadap. Titah Raja Abrahah, “Hai Ra’is al muwali, apa khabarmu datang kemari ini?’. Maka sembah Umar Umaiyah “Ya Syah Alam, ada pun hamba ini ada menaruh hajat. Sekian lamanya sudah hamba menjadi hamba kebawah duli Syah Alam, tiada ada barang satu pun kebaktian hamba kebawah duli Syah Alam. Pada hari ini hamba beroleh seekor kuda daripada anak kuda semberani, yang hamba sambar dari saudara hamba yang datang kenegeri ini. Pada tatkala hamba sambar kuda itu, hajat hamba hendak persembah pada kadam duli Syah Alam. Maka titah Raja Abrahah “Apa ertinya sambar itu?” Maka sembah Umar Umaiyah “Berubah tempat, daripada suatu tempat kesuatu tempat, demikian ertinya pada loghat Mesir, tuanku”. Maka Raja Abrahah pun mengertilah maksud didalam loghat Mesir itu, iaitu diambil dari suatu tuan kepada suatu tuan, menurut lazim percakapan orang negeri Mesir itu. Maka titah Raja Abrahah “Barulah hari ini aku tahu loghat bahasamu itu, bawalah kemari kuda itu, aku hendak lihat”. Maka dibawalah oleh Umar Umaiyah kuda itu kehadapan Raja Abrahah.

Setelah dilihat baginda, maka perkenanlah baginda akan kuda itu, tambahan pula dari jenis kuda semberani. Maka disuruh baginda tambat bersama-sama kuda yang banyak itu. Kemudian Raja Abrahah pun mengurniakan hadiah persalinan kepada Umar Umaiyah. Maka Umar Umaiyah pun memuji-muji Raja Abrahah dengan setinggi pujian. Setelah selesai ia memuji itu maka Umar Umaiyah pun menyembah Raja Abrahah, lalu balik kemakam tempat tinggalnya dijirat itu.

Tersebutlah pula cerita bini gembala unta itu, apabila ia bangkit daripada tidurnya pada waktu pagi, pergilah ia melihat kudanya. Alangkah berdebar hatinya melihat kudanya tiada lagi dalam bangsalnya. Didalam hatinya berkata-kata “Kemana perginya kudaku ini, siapa pula menyambarnya?”. Maka dicarinya kesana kemari tiada juga berjumpa, lalu pulanglah ia kerumahnya duduk dengan kemasyghulan. Dalam pada hal yang demikian itu, maka suaminya pun baliklah, lalu dikhabarkanlah oleh isterinya itu kepada suaminya bahawa kuda itu sudah hilang, puaslah dicarinya tiada berjumpa. Maka menampar-nampar dadalah gembala itu sambil berkata “Betapa gerangan menjadi hal yang demikian ini, kemana perginya gerangan kuda bertuah itu?. Selagi ada hayatku akan kucari juga”. Sesudah itu lalu ia pun berjalan kesana kemari, masuk kedalam kampung orang mencari kuda itu, akhirnya pergilah ia kerumah saudagar yang dicuri oleh Umar Umaiyah kudanya itu. Maka ia pun bertanya kepada saudagar itu “Ya Sahib, adakah ada seekor kuda hitam yang elok sifatnya kemari, berkawan dengan kuda tuanhamba?”. Maka kata saudagar itu “Kuda hitam dahinya putihkah?”. Maka sahut gembala unta itu “Benar tuan”. Maka kata saudagar itu “Itulah kudaku, disambar oleh orang akan dia, dibawanya dijualkan kepadamu. Asalnya kuda itu aku yang empunya, tiada syak lagi. Berapa lamakah sudah dijualnya kepada kamu?”. Maka jawab gembala unta itu “Baru dalam sedikit hari sahaja”.

Coolie Version

0 komen sini:

 
 
Photobucket
Google

Flower Horn